Kerajaan diarah bayar pampasan kepada Semantan Estate atas tanah Duta Enclave

Kerajaan diarah bayar pampasan kepada Semantan Estate atas tanah Duta Enclave

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Semantan Estate untuk mendapat perintah mandamus bagi memindahkan tanah itu kepada syarikat terbabit.

kompleks
Tanah seluas 106 hektar lebih dikenali Duta Enclave menempatkan Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, kompleks kerajaan lain, kemudahan sukan dan pelbagai mercu tanda. (Gambar X)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan memerintahkan kerajaan membayar pampasan kepada Semantan Estate Sdn Bhd kerana menduduki sebidang tanah seluas 106 hektar di Kuala Lumpur, lebih dikenali Duta Enclave, hampir 50 tahun.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng berkata, pampasan kewangan remedi lebih sesuai daripada membenarkan pihak berkuasa memindahkan hak milik tanah itu kepada syarikat terbabit.

“Tanah itu menempatkan beberapa bangunan utama kerajaan. Pemindahan hak milik tanah tidak boleh dilakukan,” kata Lee dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan.

Kerajaan dilaporkan berkata, ia sedia membayar pampasan mencukupi kepada syarikat terbabit untuk tanah berkenaan.

Hakim Azimah Omar dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut mendengar rayuan itu.

Panel hakim kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan memerintahkan taksiran pampasan dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar.

Mahkamah menolak rayuan balas Semantan Estate untuk perintah mandamus bagi memindahkan tanah itu kepada syarikat berkenaan dan memaksa pihak berkuasa tanah mendaftarkan tanah terbabit.

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Semantan Estate dan kerajaan menanggung kos sendiri.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi Semantan Estate dalam bentuk keuntungan mesne atas pendudukan tanah itu yang menyalahi undang-undang.

Keuntungan itu dikira dari 3 Dis 1956 sehingga tarikh jumlah pampasan dibayar sepenuhnya.

Pengurusan kes bagi taksiran ganti rugi akan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, tanah itu kini bernilai RM12 bilion.

Peguam utama Cyrus Das yang mewakili Semantan Estate memberitahu wartawan, beliau diarah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

“Kami akan memfailkan persoalan undang-undang untuk mendapat kebenaran mahkamah tertinggi mendengar rayuan itu.”

Katanya, Semantan Estate juga akan memohon penangguhan semua prosiding di Mahkamah Tinggi, termasuk pendengaran taksiran ganti rugi.

Beliau berkata, Semantan Estate akan berusaha menguatkuasakan perintah Mahkamah Tinggi pada 2009, yang disahkan Mahkamah Persekutuan pada 2012 bahawa syarikat itu kekal pemilik benefisial tanah itu.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan memindahkan tanah itu kepada Semantan Estate selepas membenarkan tuntutan syarikat itu terhadap pendaftar tanah Kuala Lumpur.

Tetapi, kerajaan memperoleh perintah penangguhan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, yang diputuskan hari ini selesai.

Beberapa kompleks kerajaan, kemudahan sukan dan mercu tanda lain dibina atas tanah Duta Enclave.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan menceroboh tanah itu dan mengambil alihnya secara tidak sah.

Pesuruhjaya kehakiman ketika itu, Zura Yahya mengisytiharkan Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya atas tanah berkenaan.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan tiga tahun kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.