Jawatankuasa bersama menteri tangani peningkatan kos penjagaan kesihatan

Jawatankuasa bersama menteri tangani peningkatan kos penjagaan kesihatan

Jawatankuasa baharu itu ditubuhkan bagi bentuk sistem penjagaan kesihatan swasta yang mampan, telus dan benar-benar memberi nilai.

Amir Hamzah Azizan Dzulkefly Ahmad
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan (kiri) dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hadir ke mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta. (Gambar KKM)
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan (KKM) secara rasmi menubuhkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) dalam usaha memastikan perkhidmatan kesihatan swasta di Malaysia kekal mampu milik.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua kementerian berkata jawatankuasa itu yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini, akan menyelaras pendekatan menyeluruh untuk merangka dan melaksanakan langkah-langkah secara kolaboratif yang sejajar dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, serta disertai wakil daripada kedua-dua kementerian dan Bank Negara (BNM).

Jawatankuasa ini akan disokong oleh Majlis Perundingan, yang memberikan input dan nasihat teknikal.

Majlis Perundingan ini dianggotai oleh wakil-wakil utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan swasta, termasuk hospital swasta, profesional kesihatan, penyedia insurans dan pengendali Takaful, kumpulan advokasi pengguna, serta pihak akademik.

“Jawatankuasa bersama ini mencerminkan komitmen kita untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membentuk sistem penjagaan kesihatan swasta yang mampan, telus dan benar-benar memberi nilai,” kata Amir.

Dzulkefly berkata inisiatif ini akan memberikan manfaat nyata kepada semua rakyat melalui pengurangan kesesakan dan kepadatan di hospital dan klinik awam.

Jawatankuasa ini juga akan menambah baik program sedia ada seperti Rakan KKM, yang menyediakan perkhidmatan ‘premium ekonomi’ di hospital awam terpilih untuk pesakit luar, rawatan harian dan pesakit dalam secara elektif.

JBMKKS juga dibina atas usaha dijalankan sebelum ini, termasuk pelaksanaan keperluan pembayaran bersama oleh BNM, bagi mengurangkan impak pelarasan premium perubatan kepada pemegang polisi yang terkesan pada 2024 hingga 2026, serta kerangka RESET

Kerangka RESET merangkumi lima teras strategik untuk menangani inflasi perubatan, iaitu menyusun semula Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh ekosistem kesihatan digital, mengembangkan pilihan penjagaan kos efektif, dan menyusun semula pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan.

Salah satu keutamaan segera JBMKKS ialah memastikan penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik dan mudah diakses untuk semua rakyat Malaysia, sambil merangsang pertumbuhan sektor yang mampan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.