Ibu didakwa pedagang anak kandung

Ibu didakwa pedagang anak kandung

Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua tuduhan pedagang anak perempuannya bagi tujuan eksploitasi seks sejak 2022.

mahkamah sesyen majistret ipoh
Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua tuduhan memperdagangkan anak kandungnya sendiri bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah rumah di Sitiawan sejak 2022.
PETALING JAYA:
Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua tuduhan memperdagangkan anak kandungnya sendiri bagi tujuan eksploitasi seks sejak tiga tahun lalu.

Ibu berusia 44 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang tidak bekerja didakwa memperdagangkan anak perempuannya yang ketika itu berumur 17 tahun bagi maksud eksploitasi seks antara 2022 hingga 3 Sept 2023 di sebuah rumah di Sitiawan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dihukum sebat jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga didakwa memperdagangkan mangsa sama yang berusia 21 tahun bagi maksud eksploitasi dengan cara menggunakan kekerasan untuk memaksa bekerja sebagai pekerja seks di lokasi sama antara 4 Sept 2024 hingga 7 Jun 2025.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda.

Hakim kemudian membenarkan wanita itu diikat jamin RM14,000 dengan dua penjamin bagi semua tuduhan dan mengarahkan tertuduh tidak mengganggu saksi termasuk dua lagi anaknya yang berumur 16 dan 19 tahun.

Mahkamah juga menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikam Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.