
Kementerian itu turut menjelaskan penguatkuasaan itu terpakai kepada semua termasuk pekerja sambilan, tidak kira sama ada melalui gaji pokok atau pendapatan bulanan.
Menggesa pekerja menerima bayaran di bawah jumlah itu membuat laporan, Kesuma berkata tindakan boleh diambil terhadap majikan mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Menurutnya, majikan boleh dihukum denda maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja dan RM1,000 untuk setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
“Bagi kesalahan berulang, penalti yang boleh dikenakan ialah denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun.
“Sekiranya aduan disahkan mahkamah, majikan boleh diarahkan membayar perbezaan gaji serta elaun terjejas selaras Seksyen 44 Akta Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011,” katanya.
Kesuma mengulas laporan media yang mendakwa ada pemandu bas persiaran hanya menerima gaji pokok RM700 sebulan tanpa elaun tetap.
Menurut laporan media itu, pemandu bas berkenaan terpaksa bergantung kepada elaun perjalanan dan kerja lebih masa untuk menampung kehidupan.