Jangan salah pilih kerajaan gagal, kata Hajiji

Jangan salah pilih kerajaan gagal, kata Hajiji

Ketua menteri sementara berkata, Sabah akan mundur jika mandat dikembalikan kepada parti yang telah buktikan gagal penuhi harapan rakyat.

Hajiji Noor
Hajiji Noor (tengah) hadiri siri kempen ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ di DUN Darau, yang turut dihadiri calon GRS Mohamed Razali Mohamed Razi (tiga dari kiri).
SEPANGGAR:
Ketua menteri sementara Hajiji Noor mengingatkan pengundi supaya tidak mengulangi kesilapan memilih parti yang pernah diberi peluang mentadbir tetapi gagal menunjukkan prestasi meyakinkan ketika berkuasa, satu sindiran halus yang ditujukan kepada Warisan.

Beliau berkata, Sabah akan mundur sekiranya mandat dikembalikan kepada kumpulan yang telahpun diuji dan gagal memenuhi harapan rakyat.

“Jangan sesekali beri peluang kepada mereka yang pernah jadi kerajaan untuk menjadi kerajaan lagi,” katanya ketika berucap dalam siri kempen ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ di DUN Darau, yang turut dihadiri calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Mohamed Razali Mohamed Razi.

Menurut Hajiji, yang juga pengerusi GRS, rekod pentadbiran terdahulu sudah cukup menjadi penilaian bagi rakyat untuk membuat keputusan lebih bijak pada PRN 29 Nov ini.

Beliau menegaskan GRS ialah pilihan lebih stabil kerana merupakan gabungan pelbagai parti, mewakili semua kaum dan etnik di Sabah, dengan hala tuju pembangunan yang jelas seperti digariskan dalam manifestonya.

Katanya, perancangan GRS merangkumi pembangunan ekonomi, kebajikan serta pembelaan terhadap golongan kurang berkemampuan, termasuk masyarakat di Darau dan Karambunai.

Sehubungan itu, Hajiji mengumumkan kerajaan negeri telah memutuskan agar mana-mana tanah kerajaan di sekitar Kota Kinabalu dijadikan rizab kampung tersusun untuk penempatan rakyat tempatan yang kini dikategorikan sebagai setinggan.

Keputusan itu, katanya, telah diluluskan Jemaah Menteri beberapa bulan lalu, dengan tanah kerajaan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk diwartakan sebagai perkampungan tempatan.

“Penduduk tidak perlu lagi bimbang dihalau atau dipindahkan. Jabatan Tanah dan Ukur sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk diwartakan sebagai rizab kampung di Darau dan Karambunai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan GRS turut merancang menambah projek perumahan rakyat di kawasan terlibat bagi memastikan penduduk mempunyai penempatan lebih selesa dan teratur.

Katanya, langkah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan GRS dalam menyelesaikan masalah penempatan rakyat di Darau, Karambunai dan sekitar Kota Kinabalu, selari dengan komitmen membawa pembangunan lebih baik kepada masyarakat tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.