Mahkamah putus pengarah syarikat tidak berhak dapat fakta memihak

Mahkamah putus pengarah syarikat tidak berhak dapat fakta memihak

Mahkamah Rayuan memutuskan SPRM tidak wajib memasukkan fakta memihak kepada Sim Choo Thiam dalam pernyataan fakta mereka.

Sim Choo Thiam berdepan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek daripada sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan memutuskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak diwajibkan secara undang-undang mengemukakan kenyataan bertulis mengandungi fakta memihak kepada seorang pengarah syarikat yang didakwa menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek berkait Kementerian Dalam Negeri.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Hashim Hamzah berkata Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan Seksyen 51A(1)(c) Kanun Tatacara Jenayah mempunyai kedudukan undang-undang yang sama dengan Seksyen 51 dalam kanun yang sama.

“Mahkamah Tinggi tersilap apabila memaksa SPRM memberikan dua perenggan kenyataan bertulis memihak kepada tertuduh kepada pihak pembelaan,” katanya merujuk kepada Sim Choo Thiam dalam keputusan sebulat suara yang mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen.

Seksyen 51 berkaitan dengan saman untuk mengemukakan dokumen atau perkara lain manakala Seksyen 51A(1)(c) menyatakan pihak pendakwaan hendaklah sebelum perbicaraan menyerahkan kepada tertuduh penyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan.

Hakim Azizul Azmi Adnan dan Faizah Jamaludin turut menganggotai panel mendengar rayuan itu.

Pengurusan kes ditetapkan di Mahkamah Sesyen pada 30 Jun untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Terdahulu dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berhujah keputusan Mahkamah Tinggi itu telah mengambil alih peranan pihak pendakwaan dalam menentukan sama ada wujud kenyataan memihak kepada Sim di bawah Seksyen 51A(1)(c) KTJ.

Beliau berkata pihak pendakwaan akan terjejas jika kenyataan tersebut diberikan sebelum perbicaraan.

“Ia seolah-olah menyerah kalah dalam kes ini dan pihak pembelaan hanya perlu mengemukakan kenyataan itu di mahkamah tanpa perlu menyoal balas pegawai penyiasat,” katanya.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik pula berhujah undang-undang mewajibkan pihak pendakwaan memberikan kenyataan memihak kepada tertuduh bagi manfaat pembelaan mereka.

“Mesti ada pendedahan pra perbicaraan yang jujur,” katanya.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan Sim untuk memaksa SPRM mengemukakan penyataan fakta baru yang memihak kepada pembelaannya.

Sim, 55, berdepan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek daripada sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Menurutnya, fakta memihak kepada pembelaan ialah beliau didakwa di mahkamah sebelum SPRM merakam kenyataan bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin, yang namanya disebut dalam pertuduhan terhadap Sim.

Sim juga mendakwa kenyataan beramaran beliau yang dirakam SPRM pada 16 dan 28 Februari 2023 tidak menyokong tuduhan rasuah dikenakan ke atasnya.

Dalam keputusannya, Hakim K Muniandy mengarahkan SPRM mengemukakan kenyataan itu, setelah mendapati ada fakta memihak yang perlu didedahkan pendakwaan kepada tertuduh sebelum perbicaraan demi memastikan haknya untuk perbicaraan yang adil.

Sim memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Sesyen pada 4 Julai 2023, mendakwa beliau berhak mendapatkan kenyataan tersebut di bawah Seksyen 51A KTJ.

Hakim Rozina Ayob menolak permohonan itu dua bulan kemudian.

Pada 10 Mei 2023, Sim dituduh meminta rasuah RM15 juta daripada Hep Kim Hong, pengarah urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad, sebagai dorongan kepada Hamzah untuk menganugerahkan projek kepada syarikat itu.

Beliau juga didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM15 juta daripada individu yang sama sebagai dorongan kepada Hamzah untuk menganugerahkan projek lain berdasarkan alasan yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan tempat letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, antara Jun hingga Julai 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain Hisyam, peguam Low Wei Loke dan Kee Wei Lon turut mewakili Sim manakala Timbalan Pendakwa Raya Asraf Tahir, Qistini Qamarul Abrar dan Ifa Sirhu Samsudin membantu Farah dalam pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.