
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata pelantikan Nurul Izzah boleh difahami lantaran kedudukannya selaku pemimpin nombor dua parti, namun pemilihan Saifuddin menimbulkan persoalan memandangkan beliau tewas pada PRU lalu.
“Inilah misteri besar pemilihan Saifuddin. Kalau ya pun timbalan presiden layak menggalas tanggungjawab demikian, tentunya PKR mempunyai calon lebih baik dari Saifuddin atau kalangan wakil rakyat sedia ada selaku gandingan Nurul Izzah,” katanya kepada FMT.
Pada PRU15, Saifuddin tewas di Parlimen Kulim Bandar Baharu yang disandangnya sejak 2018, kepada calon Perikatan Nasional (PN), Roslan Hashim, yang menang dengan majoriti 13,061 undi.
Nurul Izzah juga gagal mempertahankan Parlimen Permatang Pauh, kubu kuat bapanya sejak 1982, apabila tewas kepada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dari PAS, yang meraih majoriti 5,272 undi.
PKR mengumumkan pelantikan Nurul Izzah dan Saifuddin kelmarin, selepas mesyuarat biro politik dan majlis pimpinan pusat.
Ini merupakan kali kedua mereka digandingkan, kali pertama pada 2014.
Fauzi tidak menolak kemungkinan pelantikan Saifuddin bertujuan untuk melengkapi Nurul Izzah, dengan beliau dilihat sebagai ‘hulu balang’ dalam gandingan itu.
Tambahan, katanya, gandingan ini akan memudahkan gerak kerja parti dan PH dalam menggerakkan jentera pilihanraya.
Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah senada dengan pandangan itu.
“Kehadiran Saifuddin, yang pernah diundi keluar dari kawasannya pada PRU lalu, mungkin menunjukkan kesediaan PKR untuk mengambil risiko dan memanfaatkan kemahirannya dalam perancangan strategi, walaupun beliau tidak mempunyai kedudukan akar umbi kukuh.
“Nurul Izzah boleh menampung kelemahan Saifuddin dari segi populariti akar umbi, manakala Saifuddin pula menyumbang dari sudut strategi dan perhubungan,” katanya.