Apa berlaku kepada tandas pintar ‘kelas BMW’, Ti tanya Nga

Apa berlaku kepada tandas pintar ‘kelas BMW’, Ti tanya Nga

Bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker mendakwa tiada kemas kini mengenai projek itu yang diperuntukkan RM4 juta.

ti lian ker nga kor ming
Bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker berkata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming perlu memberi penjelasan kepada orang ramai.
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker meminta kemas kini daripada Nga Kor Ming berhubung inisiatif menteri perumahan dan kerajaan tempatan menjadikan empat tandas awam sebagai tandas pintar.

Ti berkata tiada laporan kemajuan selepas Nga pada November lalu mengumumkan tambahan RM4 juta diperuntukkan untuk tandas dibina di empat lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ia bukan jumlah kecil sebab itu kementerian berhutang penjelasan kepada orang ramai yang membayar cukai,” katanya.

Ti berkata orang ramai memerlukan tandas bersih dan berfungsi, tetapi beliau mempersoalkan keperluan membelanjakan RM4 juta untuk empat tandas ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“Wang ini boleh digunakan lebih berkesan dengan menyediakan perumahan kos rendah bagi golongan memerlukan. Kita tidak patut tak peka terhadap nasib miskin tegar dengan menggantikan keperluan mereka mempunyai tempat berteduh dengan tandas berjuta ringgit.”

Tahun lalu, Nga dilaporkan berkata, dana diperuntukkan untuk membina dua tandas pintar “BMW-i” atau Bersih, Menawan dan Wangi di Kuala Lumpur serta Putrajaya, dengan dilengkapi ciri-ciri seperti bidet automatik bina-dalam, mesin pembersih lantai automatik dan pintu automatik untuk orang kurang upaya.

Ti berkata: “Kita tidak memerlukan tandas kelas BMW. Kita perlu tandas berfungsi baik dan mudah diselenggara berbanding tandas bertaraf tinggi dengan kos penyelenggaraan lebih tinggi.”

Katanya, kritikan terhadap projek MyKiosk oleh kementerian Nga baru-baru ini menjadikan kemas kini mengenai projek tandas itu lebih mendesak.

Bulan lalu, Pemuda MCA Selangor memfailkan aduan untuk siasatan ke atas pembiayaan dan pelaksanaan projek itu. Nga kemudian menolak dakwaan inisiatif itu gajah putih. Di bawah rancangan itu, ruang dagangan standard akan disediakan untuk disewa golongan B40 dan peniaga kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.