Rundingan tarif Malaysia-AS catat kemajuan

Rundingan tarif Malaysia-AS catat kemajuan

Wakil Malaysia dan AS berhasrat untuk memuktamadkan rundingan sebelum tamat tempoh penangguhan 90 hari ke atas pelaksanaan tarif.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengetuai lawatan kerja ke Washington, AS pada 18 hingga 20 Jun lepas. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Rundingan Malaysia dengan wakil perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan setiausaha perdagangan AS berkaitan tarif berada di landasan tepat dan mencatatkan kemajuan, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Miti menjelaskan wakil Malaysia dan AS menyatakan hasrat untuk memuktamadkan rundingan sebelum tamat tempoh penangguhan 90 hari ke atas pelaksanaan tarif.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mempergiatkan usaha bagi mencapai persetujuan yang boleh diterima bersama oleh pihak berkepentingan utama dari kedua-dua negara.

Miti memaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengetuai lawatan kerja ke Washington, AS pada 18 hingga 20 Jun lepas.

Lawatan kerja tertumpu terutama pada rundingan berkaitan tarif AS yang berterusan dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, dan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick.

Tengku Zafrul diiringi ketua perunding Miti serta timbalan ketua perwakilan dari Kedutaan Besar Malaysia, dan kalangan pegawai Miti di Washington.

“Rundingan itu dijangka membantu menjamin rantaian bekalan Malaysia, serta memberikan kesan limpahan positif kepada perniagaan Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana, dan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semua ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini, di samping memacu agenda transformasi ekonomi ke arah negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi.

Tengku Zafrul berkata pada Mei 2025, eksport ke AS mencatatkan peningkatan dua digit untuk bulan kelapan berturut-turut.

“Sejak 10 tahun lalu, AS merupakan antara tiga pasaran eksport terbesar bagi Malaysia. Kebanyakan eksport Malaysia ke AS melengkapi industri domestik AS dalam sektor seperti elektrik dan elektronic, semikonduktor, peranti perubatan serta jentera, peralatan dan alat ganti,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga menjadi sumber penting barangan perantaraan kepada industri pembuatan AS.

“Miti akan sentiasa menegakkan kepentingan Malaysia dalam semua hubungan perdagangan dan pelaburan dengan semua rakan dagang, terutama dalam menjaga integriti komitmen domestik Malaysia dan hak kedaulatannya,” katanya.

Miti memaklumkan delegasi Malaysia memastikan mesyuarat dengan wakil perdagangan AS dan setiausaha perdagangan AS dioptimumkan sebagai platform untuk meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan dua hala.

Ini juga akan menjadi sebahagian daripada hasil jangkaan rundingan, yang Miti sasarkan akan dimuktamadkan sebelum tamatnya tempoh penangguhan 90 hari ke atas pelaksanaan tarif, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.