
Tapak seluas 64,664 meter persegi itu dikesan menempatkan pelbagai jenis premis termasuk tempat mencuci kenderaan, parkir lori, bengkel dan premis barangan lusuh, namun hanya satu premis didapati memiliki lesen sah.
Datuk Bandar MBJB Mohd Haffiz Ahmad, berkata siasatan awal mendapati hanya sebuah premis penyimpanan minyak kelapa sawit memiliki lesen sah dikeluarkan MBJB dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Tanah ini disewakan kepada beberapa premis dan hanya satu daripadanya berlesen. MBJB akan mengambil tindakan susulan termasuk memaklumkan perkara ini kepada SWCorp kerana terdapat premis barangan lusuh yang turut beroperasi di situ,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian.
Semalam, dalam kejadian sekitar 12.30 tengah hari, lima premis melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi musnah dalam kebakaran yang turut memusnahkan 15 kenderaan.
Terdahulu, tinjauan mendapati laluan ke kawasan kebakaran ditutup oleh pihak berkuasa sejak awal pagi, manakala orang ramai kelihatan berhimpun di sekitar lokasi bagi melihat kesan kebakaran.