Polis siasat pelajar perempuan dibuli dalam tandas sekolah

Polis siasat pelajar perempuan dibuli dalam tandas sekolah

Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao berkata pihaknya terima laporan berkait video kejadian buli itu yang tular.

buli-abuse
Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya yang berlaku di sekolah. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat satu video tular kejadian buli membabitkan beberapa pelajar perempuan di dalam tandas sebuah sekolah menengah di Klang.

Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao berkata pihaknya menerima laporan pada 12.53 tengah hari tadi berhubung video tular di Facebook yang memaparkan kejadian buli tersebut.

“Polis memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi pegawai penyiasat Mohamad Izroy Kamarulzaman di talian 014-8183519 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video berdurasi lebih dua minit itu, memaparkan seorang pelajar perempuan dikelilingi sekumpulan pelajar lain di dalam tandas sebelum dipukul pada bahagian badan dan ditampar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.