
Onn Hafiz Ghazi mendedahkan sebanyak 222 projek yang sepatutnya dilaksanakan antara 2016 hingga tahun lalu masih belum dimulakan.
Projek-projek itu membabitkan pelbagai kemudahan seperti jalan, masjid, hospital dan klinik kesihatan, dan dianggarkan bernilai RM10 bilion, katanya.
“Bila saya tanya dalam mesyuarat, kata jangan risau, akan semak dengan kementerian masing-masing, kita akan luluskan.
“Semua projek ini untuk rakyat, sampai hari ini pun belum mula,” katanya lapor Berita Harian.
Onn berkata sudah tiba masanya pemimpin di peringkat pusat beri kepercayaan kepada kepimpinan negeri, dan mencadangkan Putrajaya merintis cadangan itu di Johor.
“Jika tak nak buat satu Malaysia, jadikan Johor sebagai negeri rintis,” katanya, ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno Tebrau, di Johor Bahru.
Onn yang juga ketua Umno Johor berkata pemimpin partinya akan dimarahi rakyat sekiranya projek terbabit tidak dilaksanakan.
Beliau juga menggesa ahli majlis, ketua kampung, dan ketua masyarakat turun padang dan periksa kawasan masing-masing.