
Bercakap kepada FMT, Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan cadangan Bersih itu sebagai satu pendekatan sempit dan tidak konsisten seperti sering diperjuangkannya.
“Rakyat menilai keikhlasan dan keupayaan menyelesaikan masalah, bukan semata-mata siapa bakal duduk di kerusi nombor satu negara,” katanya yang meminta Bersih tidak memihak kepada mana-mana parti.
Kelmarin, FMT melaporkan kenyataan Pengerusi Bersih supaya PN lebih jelas berkait calon perdana menteri yang mahu disokongnya sebelum menganjurkan sebarang usaha mendesak Anwar meletak jawatan.

Gesaan itu menyusul menjelang ‘Himpunan Turun Anwar’ dianjurkan Pemuda PAS pada 26 Julai, menggantikan bantahan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dirancang sebelum ini.
Mengulas gesaan badan pemantau pilihan raya itu usaha berkenaan turut dibuat di Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata pembangkang mengakui proses itu.
“PN sentiasa menghormati saluran Perlembagaan termasuk peranan Dewan Rakyat, kami tidak pernah tolak sebarang proses demokrasi seperti usul undi tidak percaya, usul khas atau perbahasan dasar mencabar keabsahan sesebuah kerajaan.
“Tetapi untuk membawa sebarang usul, perlu ada ruang adil daripada kerajaan dan speaker Dewan Rakyat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata urusan calon perdana menteri PN bukan isu sukar kerana ramai pemimpinnya mampu dan layak memimpin kerajaan.
“Himpunan aman adalah sebahagian daripada perkara dibenarkan dalam perlembagaan negara.
“Mereka (Bersih) harus semak kembali berapa janji dalam manifesto (kerajaan) sewaktu berjanji kepada rakyat,” katanya.