Lelaki didakwa buat komen jelik terhadap Nurul Izzah

Lelaki didakwa buat komen jelik terhadap Nurul Izzah

Ruslan Mat Ali mengaku tidak bersalah membuat komen jelik di Facebook dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Ruslan Mat Ali
Ruslan Mat Ali ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Sepang hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas 11 tuduhan melakukan hantaran jelik di Facebook terhadap bekas Ahli Parlimen Nurul Izzah Anwar pada Februari lalu.

Ruslan Mat Ali, 48, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman. lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa menggunakan aplikasi Facebook untuk membuat dan memulakan penghantaran komen jelik terhadap Nurul Izzah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 Jan dan 26 Feb lalu.

Ruslan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah seksyen 233 (3) akta yang sama memperuntukkan hukuman denda minimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Fadhli Ab Wahab memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Ruslan yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana tiada pendapatan tetap selain menanggung tiga anak.

Lelaki itu juga telefon miliknya jatuh ketika memancing dan tidak tahu mengenai komen yang dibuat.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, lelaki itu tidak dapat membayar jaminan dan ditahan sehingga tarikh sebutan seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.