
Amirudin berkata, projek melibatkan pembinaan jalan raya itu dijangka bermula selepas sambutan Thaipusam tahun depan.
Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan diteruskan bulan depan bagi menangani isu-isu berbangkit.
“Kita akan cuba selesaikan isu-isu teknikal ini bulan depan,” katanya pada sidang media di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.
Amirudin berkata, pembangunan semula penempatan tersebut akan membawa penambahbaikan yang sekian lama dinantikan, termasuk prasarana baharu dan perumahan yang lebih sempurna untuk penduduk.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan pertimbang memberikan bantuan sewaan sementara bagi penduduk yang mungkin perlu berpindah.
Peguam mewakili penduduk, P Waytha Moorthy mendakwa menteri besar diberi ‘maklumat yang salah’ mengenai status beberapa rumah yang dilaporkan dibina di atas tanah rizab.
Beliau menegaskan, beberapa penduduk telah memperoleh kebenaran daripada pejabat tanah untuk membina rumah di lot masing-masing, dan mencadangkan agar jajaran jalan raya itu diubah bagi mengelakkan rumah yang dibina secara sah terjejas.
Waytha turut menyuarakan kebimbangan mengenai sebuah kuil berusia 60 tahun yang terletak di kawasan terjejas, berkata bahawa usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti tanah alternatif di kawasan itu bagi tujuan penempatan semula.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan perbincangan, dengan pihak peguam menyatakan komitmen semua pihak untuk mencari penyelesaian ‘menang-menang’.
Penempatan itu, yang terletak berhampiran persimpangan Jalan Bunga Raya 2 dan Jalan Tepi Sungai, dikatakan telah dibangunkan oleh pihak berkuasa kolonial sebelum kemerdekaan Malaya bagi menempatkan pekerja Tamil.
Bulan lepas, sekumpulan penduduk dari penempatan itu menyerahkan memorandum kepada Istana Selangor bagi memohon perlindungan diraja daripada pengusiran yang bakal berlaku.
Presiden Malaysia Tamilar Munnetra Kalagam VK Sri Ramesh berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah mengeluarkan notis pengusiran kepada penduduk di bawah Kanun Tanah Negara atas kesalahan menduduki tanah kerajaan secara tidak sah.
Beliau mendakwa, pihak berkuasa akan merobohkan rumah pada 25 Nov, dengan 44 buah ijangka terjejas, walaupun pelbagai permit kediaman dan pengiktirafan telah diberikan sejak beberapa dekad lalu.