KPN cadang tempatkan PDRM bawah kementerian khusus

KPN cadang tempatkan PDRM bawah kementerian khusus

Ketika ini polis yang mempunyai lebih 137,000 anggota itu diletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

RAZARUDIN HUSAIN
Razarudin Husain berkata kertas cadangan letak PDRM di bawah kementerian khusus telah diberi kepada Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diletakkan di bawah satu kementerian khusus.

Ketika ini pasukan berusia lebih dua abad yang mempunyai lebih 137,000 anggota itu diletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Bakal melepaskan jawatan itu Ahad ini, Razarudin berkata agensi besar seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sektor kesihatan dan pendidikan hanya menaungi agensi tunggal di bawah satu kementerian.

Beliau percaya keupayaan pasukan akan menjadi lebih utuh sekiranya diletakkan di bawah satu kementerian khusus.

Razarudin merujuk langkah sama diambil agensi kepolisian antarbangsa seperti China, Brazil, Vietnam, Korea Selatan dan Brunei.

“Saya melihat keperluan ini sebagai suatu resolusi penting untuk memastikan PDRM terus relevan, selari dengan evolusi era globalisasi dan digital masa kini.

“Untuk makluman kertas cadangan telah pun diangkat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya optimis resolusi ini akan membawa kebaikan dan perubahan besar dalam memperkasakan perkhidmatan awam demi kemaslahatan bersama,” katanya yang akan digantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Khalid Ismail.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis serah terima tugas ketua polis negara dan pengerusi persatuan keluarga polis (Perkep).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.