Ibu mentua ketua pembangkang Hamzah maut kebakaran

Ibu mentua ketua pembangkang Hamzah maut kebakaran

Bapa mentua Hamzah Zainudin, Abdul Ghani Ngah mengalami kesukaran bernafas, manakala empat ahli keluarga lain berjaya menyelamatkan diri tanpa cedera.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca kebakaran rumah dua tingkat di Jalan Raja Abdullah itu. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Ibu mentua Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin meninggal dunia dalam kebakaran rumahnya di Kampung Sungai Rapat Tambahan, Ipoh malam tadi.

Selain Salmiah Nyakk Matt, 84, turut berada dalam rumah itu ketika kebakaran berlaku ialah bapa mentua Hamzah, Abdul Ghani Ngah, 83, yang mengalami kesukaran bernafas.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kebakaran berlaku pada 9.19 malam tadi di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Raja Abdullah.

Menurutnya, perkhidmatan kecemasan dimaklumkan melalui panggilan MERS 999 yang mendorong tindak balas pantas polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.

“Siasatan awal mendedahkan enam individu, semuanya dari keluarga sama berada dalam rumah semasa kejadian.

“Kebakaran itu secara tragis meragut nyawa seorang wanita berusia 84 tahun, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Suaminya berusia 83 tahun diselamatkan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan perubatan.

“Empat ahli keluarga lain berumur 18 hingga 49 tahun berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca kebakaran dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.