Anwar lancar 1,000 sekolah angkat Madani

Anwar lancar 1,000 sekolah angkat Madani

Sekolah angkat Madani meraih komitmen 117 organisasi sektor awam dan swasta bagi menangani jurang pendidikan.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan sekolah angkat Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan 1,000 sekolah angkat Madani bagi seluruh negara yang menggabungkan kerjasama kerajaan dan swasta.

Anwar menyambut baik sokongan luar biasa syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, dan swasta dalam menjayakan program itu yang bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurutnya, ia berlandaskan nilai komitmen bersama membina masyarakat Madani menerusi perkongsian kejayaan syarikat swasta berpangkalan di Malaysia yang mencatat kejayaan membanggakan di luar negara.

“Yinson sampai ke Brazil, Proton ke Mesir manakala Petronas ke Angola…YTL projek besar sampai ke United Kingdom (UK).

“Saya tabik mereka kerana masih tanggungjawab membangunkan negara mereka sendiri,”katanya berucap merasmikan sekolah angkat Madani.

Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Selain mengharapkan dana untuk menambah baik kemudahan, Anwar yang juga menteri kewangan berharap syarikat dan tokoh korporat berjumpa dengan pelajar berkongsi pengalaman serta kepentingan pendidikan.

“Jadi anak-anak akan tertarik dengan tokoh itu, kalau tak sempat sebulan sekali…dua kali setahun pun boleh.

“Beri jamuan teh sedikit kepada anak-anak dan terangkan apa makna pendidikan dan bagaimana ia boleh mengubah dari segi mobiliti sosial…itu satu pendekatan baik,” katanya.

Sekolah angkat Madani meraih komitmen daripada 117 organisasi sektor awam dan swasta bagi menangani jurang pendidikan di seluruh negara.

Organisasi mengambil sekolah angkat memberi komitmen kepada kerjasama jangka panjang yang memfokuskan lima bidang utama.

Bidang terbabit adalah meningkatkan infrastruktur dan kemudahan, memperkasa program akademik dan memperkukuh latihan serta pembangunan guru.

Menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa dan membangunkan sahsiah serta kemahiran pelajar.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.