
Gesaan diterbitkan oleh Pejabat DYMM Sultan Selangor di Facebook ini menyusuli keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa yang tidak terpakai kepada SIS Forum, pertubuhan atau institusi.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Sultan Selangor selaku ketua agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” katanya.
Kenyataan itu menulis Sultan Selangor kecewa dan dukacita dengan sebahagian keputusan mahkamah tersebut.
“Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam,” katanya.
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, mencabar fatwa Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam pada 2014.
Sidang empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 megetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi, lapor Bernama.
SIS Forum berusaha membatalkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu menyimpang atas alasan ia didakwa menganut ideologi ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme agama’.