
Ketua Polis Arau Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kedua-dua individu, masing-masing berusia 37 tahun, ditahan pada 1.30 pagi susulan aduan orang awam.
Katanya, kejadian terbaru dipercayai berlaku tengah hari semalam apabila mangsa dipukul menggunakan rotan di bahagian belakang badan oleh bapanya kerana didakwa berkelakuan nakal.
“JKM menerima maklumat daripada seorang individu kira-kira 12.15 tengah hari semalam melalui talian hotline mengenai mangsa yang disyaki didera secara fizikal oleh ibu bapa kandungnya,” katanya, lapor Bernama.
Ahmad Mohsin berkata, pegawai pelindung JKM negeri kemudian berkunjung ke rumah keluarga itu pada 10.40 malam tadi.
Mangsa yang bersekolah di Kangar kemudian ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Arau sementara siasatan dilengkapkan, tambahnya.
Hasil pemeriksaan pegawai perubatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mendapati kanak-kanak itu mempunyai kesan cedera di kepala, bibir, dada, rusuk kanan, belakang badan, lengan dan betis, disyaki akibat dipukul dengan objek tumpul serta terkena air panas.
“Kecederaan yang dialami mangsa ialah kecederaan baharu serta lama, Dia telah dirujuk ke Unit Pediatrik HTF untuk rawatan lanjut,” katanya.
Pasangan suami isteri itu direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.