Mahkamah Persekutuan batal fatwa 2014 terhadap SIS

Mahkamah Persekutuan batal fatwa 2014 terhadap SIS

Dalam keputusan majoriti, panel dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat kes itu memerlukan campur tangan kehakiman.

Kumpulan hak asasi wanita Sisters in Islam di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya selepas berjaya dalam rayuan membatalkan fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam Selangor pada 2014.
PUTRAJAYA:
Kumpulan hak asasi wanita, Sisters in Islam (SIS) berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam Selangor terhadapnya pada 2014.

Dalam keputusan majoriti, panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, kes itu memerlukan campur tangan kehakiman.

Tengku Maimun bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Nalini Pathmanathan membentuk majoriti, manakala Hakim Abu Bakar Jais tidak bersetuju.

Seorang lagi ahli panel, Hakim Abdul Karim Abdul Jalil bersara April lalu.

“Keputusan kami hari ini hanya berkaitan fatwa itu sama ada terpakai ke atas sebuah organisasi,” kata Tengku Maimun.

Jelasnya, fatwa tidak boleh dilaksanakan ke atas organisasi seperti SIS kerana ia tidak boleh “menganuti” agama dan frasa “orang yang menganut agama Islam” dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk secara eksklusif kepada manusia, bukan entiti seperti syarikat atau organisasi.

“Tafsiran Perlembagaan ini sejajar hakikat hanya manusia boleh melafazkan syahadat, menunaikan solat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji – rukun Islam.

“Sebuah syarikat, sebagai entiti buatan, tiada kapasiti untuk bertaubat seperti dibayangkan fatwa,” katanya sambil menambah tindakan masih boleh diambil terhadap pemegang jawatan SIS yang melanggar fatwa itu.

Tegasnya, mahkamah tidak menilai aspek teologi fatwa itu kerana perkara sedemikian terletak secara eksklusif dalam bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

“Fokus kami semata-mata pada had undang-undang bidang kuasa, bukan pada kesahihan pandangan agama.”

SIS diwakili Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, manakala kerajaan Selangor diwakili Penasihat Undang-undang Negeri, Salim Soib @ Hamid.

Peguam Haniff Khatri Abdulla dan Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Jawatankuasa Fatwa Selangor, manakala Yusfarizal Yussoff mewakili Mais.

SIS memfailkan rayuan untuk membatalkan fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 2014 bahawa NGO itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam kerana didakwa berpegang kepada fahaman liberalisme serta pluralisme agama.

Sebelum ini, ia gagal mencabar fatwa itu di mahkamah rendah pada 2019 dan 2023.

Pada Oktober 2014, SIS, syarikat berhad menurut jaminan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965, memfailkan semakan kehakiman. Ia berhujah fatwa itu tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan ke atas entiti korporat dikawal undang-undang sivil.

Kes itu berkembang menjadi pertikaian Perlembagaan sama ada fatwa agama boleh dikuatkuasakan ke atas organisasi bukan agama dan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa menyemaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.