
Pengarah kastam KLIA, Zulkifli Muhammad, berkata seorang warga tempatan ditangkap pada 17 Apr lepas, ketika cuba menyeludup keluar 14.65kg bunga ganja, bernilai hampir RM1.44 juta, menggunakan bagasi yang didaftar masuk untuk penerbangan ke sebuah negara Eropah.
Lelaki berkenaan diarah menjalani pemeriksaan bagasi selepas perjalanannya disekat Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kerana mempunyai rekod senarai hitam.
“Semasa imbasan bagasi dilakukan, lelaki tersebut membuat cubaan untuk melarikan diri dan telah digagalkan oleh anggota kastam yang bertugas.
“Pemeriksaan menjumpai dadah jenis bunga ganja dimasukkan ke dalam plastik kedap udara bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa dan cuba diseludup keluar menggunakan bagasi yang telah diperiksa,” katanya lapor Bernama.
Pada 16 Mei pula, kastam menemukan 5.31kg dadah jenis ekstasi bernilai hampir RM900,000 yang cuba diseludup masuk melalui sebuah dagangan di satu pengendali terminal kargo yang beroperasi di Zon Perdagangan Bebas KLIA.
Beliau berkata dadah yang dipercayai berasal dari sebuah negara Eropah itu dibungkus dan diisytiharkan sebagai komponen komputer riba.
Pada 24 Mei, sebanyak 10.18 kg dadah jenis syabu bernilai hampir RM300,000 yang disorokkan dalam dagangan bersama pakaian cuba diseludup masuk menggunakan modus operandi yang sama.
Kastam sedang menjalankan siasatan bagi kedua-dua kes melibatkan dagangan berkenaan namun mengakui menghadapi kesukaran kerana pihak terlibat dipercayai menggunakan nama dan alamat syarikat palsu.
“Kita sudah pergi ke (premis) seperti yang diisytiharkan dalam maklumat dagangan tetapi kami dapati syarikat itu tidak wujud atau menggunakan alamat orang lain,” katanya.