

Ariff Aizuddin Azlan berkata, gesaan Pengerusi Muhyiddin Yassin supaya kerajaan mempertimbangkan semula GST pada kadar berpatutan dilihat bercanggah pendirian Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham dan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.
Terdahulu, Hilman dan Fadhli menerusi media sosial berkata bukan pembangkang meminta ia diperkenalkan semula sebaliknya parti kerajaan seperti Umno, menjawab kritikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan polemik terhadap sistem percukaian itu dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Jika kekhilafan (perbezaan pendapat berkait GST) ini tidak ditangani dengan baik maka ia akan memberikan kesan kritikal kepada PN dengan persepsi terbentuk sendirinya.
“PN akan digambarkan bersikap ‘flip flop’ (berbolak-balik) dalam hal sebesar itu,” kata Ariff dari Universiti Teknologi Mara kepada FMT.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat, percanggahan itu akan mengelirukan rakyat dan menunjukkan pembangkang seolah-olah tidak mengetahui secara meluas mengenai sistem percukaian.
“Seolah-olah tiada kata putus, tiada kebersamaan pendapat dalam kalangan PN,” katanya yang tidak menolak keadaan itu akan mencetuskan pelbagai persoalan mengenai pendirian PN.
“Orang ramai akan mempersoalkan bagaimana PN nak buat manifesto berkait sistem percukaian jika tiada kebersamaan,” katanya yang menjangkakan perbezaan pendirian boleh menjejaskan peluang pembangkang pada PRU16.
Kelmarin, Muhyiddin menggesa kerajaan mempertimbangkan semula GST pada kadar munasabah serta tidak membebankan rakyat selepas mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh.
Bekas perdana menteri mendakwa, SST yang skopnya akan diperluaskan mulai 1 Julai memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi berbanding dasar GST dilaksanakan kerajaan sebelum ini.
GST yang diperkenalkan 1 April 2015 pada kadar 6% ketika pentadbiran Najib Razak dimansuhkan selepas Pakatan Harapan (PH) 1.0 diketuai Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara mendakwa polemik PN berkait GST lebih kepada usaha meraih manfaat politik, bukan bertujuan mahu mempertahankan mana-mana sistem percukaian.
Katanya, isu cukai sering digunakan pembangkang sebagai senjata, yang mana ia turut digunakan PH dan Bersatu ketika mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018.
“Isu sistem percukaian seolah-olah jadi satu platform untuk parti politik serang lawan masing-masing. Tindakan PN hari ini menjurus kepada usaha mendapat manfaat politik semata-mata,” katanya.