
Artikel itu menyentuh siasatan terhadap urusan suaminya Daim Zainuddin yang juga bekas menteri kewangan.
Beliau mendakwa dalam tempoh sembilan bulan sejak laporan itu dibuat di Balai Polis Petaling Jaya, pihak berkuasa itu tidak pernah menghubunginya bagi siasatan lanjut.
“Setakat yang saya tahu, polis tidak menjalankan sebarang siasatan kerana tiada tindakan susulan diambil.
“Kami pun tidak tahu siapa pegawai penyiasat untuk laporan ini,” katanya kepada pemberita.
Dalam satu artikel diterbitkan September lalu, Bloomberg memetik sumber mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, memberitahu pegawai-pegawai agensi itu bahawa arahan menyiasat Daim serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya datang daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri.
Naimah membuat laporan polis berhubung artikel itu dengan mendakwa ia menunjukkan pertuduhan terhadap beliau dan Daim merupakan satu konspirasi untuk menyasarkan musuh politik Anwar dengan ‘menyelewengkan institusi negara dan badan penguatkuasaan’.
“Sudah menjadi rahsia umum saya dan Daim telah menjadi mangsa siasatan bermotifkan politik serta pertuduhan direka-reka yang digerakkan oleh Anwar,” dakwanya selepas membuat laporan itu tahun lalu.
Daim telah didakwa pada Januari lalu kerana gagal mengisytiharkan aset kepada SPRM, termasuk kepentingan dalam 38 syarikat, 19 bidang tanah di lima negeri, enam hartanah, dua akaun amanah saham dan tujuh kenderaan mewah.
Selepas kematiannya pada 13 November tahun lalu, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya dan mahkamah membenarkan perintah pelepasan dan pembebasan penuh.
Naimah pula dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan dalam pelbagai syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan di Pulau Pinang, serta dua buah kenderaan.