Bekas model mengaku tak salah muat naik sijil nikah palsu dengan kerabat diraja Johor

Bekas model mengaku tak salah muat naik sijil nikah palsu dengan kerabat diraja Johor

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis sehingga kes selesai.

Persana Avril Sollunda (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini untuk menghadapi tuduhan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas model mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memuat naik hantaran sijil pernikahan palsu dirinya dengan seorang kerabat diraja Johor di TikTok Februari lalu.

Harian Metro melaporkan Persana Avril Sollunda, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di depan Hakim Norma Ismail.

Tukang urut itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran gambar dalam sebuah video palsu sifatnya di aplikasi TikTok melalui akaun ‘king.charles.ratu’ yang memaparkan sijil pernikahan palsu seorang kerabat diraja dan Crown Princess Ratu Shana.

Penghantaran dengan niat untuk menyakiti hati orang lain itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada 10 pagi 26 Feb lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan.

Norma membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 22 Mei lalu, Mahkamah Sesyen sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Persana kerana gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan ke atasnya.

Mac lalu, wanita itu ditahan untuk soal siasat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, tetapi dibebaskan kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.