
Setiausaha PN Selangor Dr Afif Bahardin berkata rakyat dapat melihat kemampuan wakil rakyat dari gabungan itu yang antaranya pernah menjadi menteri besar, pegawai kanan kerajaan, rektor universiti dan exco kerajaan negeri.

“Rakyat lihat apabila sidang DUN Selangor macam Adun pembangkang jadi kerajaan, Adun kerajaan pula sebaliknya.
“Jadi kalau PN tadbir Selangor kita cukup sedia dengan pengalaman yang ada pada Adun,” katanya kepada FMT sambil menepis dakwaan prestasi mereka seperti ‘buih’ kerana gagal berfungsi baik dalam menjaga kebajikan rakyat.
Dakwaan itu dibuat Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Selangor Khairuddin Othman apabila mengulas keyakinan PN untuk menang 10 lagi kerusi di Selangor pada pilihan raya akan datang.
Menurut Afif yang juga Adun Taman Medan itu, 10 DUN tambahan disasar untuk ditawan termasuk kerusi bercampur yang gagal ditawannya pada PRN 2023.
“Boleh menang dengan ada pertambahan pengundi baharu dan momentum sokongan lebih baik pada pilihan raya akan datang.
“Parti komponen terutama Gerakan dan MIPP akan memainkan peranan tarik bukan Melayu di kerusi campuran,” katanya.
Ketua PN Selangor Azmin Ali dalam ucapan dalam program Kembara Bersatu Selangor yakin komponen itu akan menambah 10 kerusi DUN sekali gus merampas pentadbiran negeri terbabit pada pilihan raya akan datang.
Pada PRN Selangor berlangsung Ogos 2023, PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan gagal merampas pentadbiran negeri itu apabila hanya menang 22 kerusi.
Selain Hulu Kelang yang dimenangi Azmin, PN juga menawan kerusi Sabak, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Sungai Burong, Permatang, Bukit Melawati dan Ijok.
Jeram, Kuang, Gombak Setia, Semenyih, Sungai Ramal, Taman Medan, Paya Jaras, Sementa, Sungai Kandis, Sijangkang, Morib dan Dengkil.
PN turut menang Selat Klang namun wakil rakyatnya Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Menteri Besar Amirudin Shari.
PH meneruskan penguasaan di negeri itu dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan menguasai 34 kerusi DUN.
Parti perlu menang sekurang-kurangnya 29 daripada 56 kerusi DUN dipertandingkan untuk menang di Selangor.