Tuduhan pemimpin angkuh, menteri agama saman pensyarah

Tuduhan pemimpin angkuh, menteri agama saman pensyarah

Mohd Na'im Mokhtar menamakan Abu Hafiz Salleh Hudin selaku defendan melalui saman difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Jun.

Mohd Na’im Mokhtar menuntut daripada defendan antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan dan memohon injunksi supaya memadamkan posting berkenaan serta menghalang ia disiarkan semula.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar memfailkan saman fitnah terhadap seorang ahli politik yang juga pensyarah sebuah universiti awam.

Na’im menamakan Abu Hafiz Salleh Hudin selaku defendan melalui saman difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Akberdin & Co pada 14 Jun lalu.

Ia berhubung kenyataan berbaur fitnah didakwa disiarkan defendan di aplikasi X dan laman sosial Facebook, lapor Harian Metro.

Dalam pernyataan tuntutan, Na’im berkata sejak hujung 2024, defendan menunjukkan pola konsisten menerusi pelbagai kenyataan awam, sama ada melalui posting di akaun X atau Facebook miliknya atau kenyataan yang disiarkan portal berita.

Menurutnya, ia secara langsung atau tidak langsung menyentuh dan menyerang dirinya secara tidak adil dan keterlaluan.

Beliau berkata, pada 5 Feb dan 4 Mei lalu, Abu Hafiz membuat pernyataan fitnah yang diterbitkan semula oleh defendan melalui satu posting di akaun X beliau (defendan), yang berniat jahat dan tidak benar.

Katanya, ia membawa maksud antaranya beliau adalah seorang pemimpin yang angkuh, keras kepala dan sombong, yang menolak nasihat serta enggan menerima pandangan orang lain dalam membuat keputusan berkaitan agama.

Menurut plaintif, ia juga bermaksud beliau gagal menjalankan tugas dengan berkesan, walaupun dalam perkara mudah, sehingga menyebabkan dasar dan inisiatif kerajaan menjadi bahan ejekan dan ditolak oleh sebahagian Ahli Parlimen di Parlimen.

Na’im berkata, ia turut bermaksud bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang angkuh, elitis dan tidak cakna dengan nilai kesederhanaan, seolah-olah menganggap dirinya lebih tinggi daripada pegawai lain, dan bertentangan dengan prinsip kepimpinan Islam.

Beliau berkata, pada 6 Mei lalu pula, defendan atau wakilnya memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan satu rakaman podcast di platform Facebook bawah akaun dikenali sebagai ‘Iswardy Morni Utama’.

“Ia adalah melampaui keraguan bahawa defendan mempunyai niat jahat terhadap saya. Ia adalah jelas juga bahawa defendan berniat untuk menyebabkan ketidakharmonian dalam masyarakat dengan memfitnah saya,” katanya.

Sehubungan itu, Na’im menuntut daripada defendan antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan dan memohon injunksi supaya memadamkan posting berkenaan serta menghalang ia daripada disiarkan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.