
Naib presiden PAS itu mengulangi pendiriannya yang tindakannya itu kerana ingin memberi peluang kepada pelapis baharu dan fokus persediaan menuju PRU seterusnya.
Menteri besar Terengganu itu juga menegaskan tiada sebab untuk Presiden PAS Hadi Awang berundur dari kedudukan nombor satu ketika parti itu dalam prestasi cemerlangnya.
“Tidak timbul soal (Abdul Hadi) undur diri… kenapa pula dalam keadaan prestasi cemerlang ini perlu berfikir yang bukan-bukan (mengenai pengganti presiden).
“Momentum sedia ada ini perlu diteruskan,” katanya menurut Berita Harian.
Semalam, FMT melaporkan penganalisis politik, Azmi Hassan berkata keputusan Samsuri untuk tidak mempertahankan YDP PAS Marang mungkin sebagai langkah taktikal ke arah merebut jawatan lebih tinggi dalam hierarki parti.
Katanya, tindakan Samsuri melepaskan jawatan yang telah lama dipegang itu bukan sekadar untuk memberi ‘nafas baharu’ kepada PAS Marang sebaliknya mungkin petanda awal terhadap cita-cita politik lebih besar menjelang PRU16.
Baru-baru ini, media melaporkan Hadi, 77, didakwa membayangkan berundur daripada jawatan presiden PAS atas faktor kesihatan selepas memimpin parti sejak 2002.
Susulan itu, timbul pelbagai cakap-cakap berhubung pengganti kepada Ahli Parlimen Marang itu termasuk gesaan supaya kepimpinan ulama dikekalkan.
PAS dijangka mengadakan pemilihannya September depan.