
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata lelaki 67 tahun itu yang juga pengurus syarikat swasta membuat laporan polis 12 Jun lalu selepas menyedari dirinya ditipu.
Menurutnya, kejadian bermula sekitar April lalu apabila nombor telefon mangsa dimasukkan ke satu kumpulan WhatsApp pelaburan saham.
“Mangsa dijanjikan pulangan harian antara 5% hingga 10% berdasarkan jumlah pelaburan, menyebabkan dia mula tertarik dan melakukan 12 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank antara 16 April hingga 30 Mei lalu.
“Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan adalah RM1,772,603,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, mangsa curiga dan menyedari diperdaya kerana tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, malah diminta membuat bayaran tambahan hampir RM500,000.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Kumar menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Lakukan semakan dengan pihak berkuasa seperti polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang pelaburan,” katanya sambil menambah orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan Semak Mule untuk menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek sebelum melakukan sebarang transaksi.