
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata, kejadian di Brickfields dan Cheras tidak wajar dijadikan bukti mencerminkan keadaan sekitar ibu negara tidak selamat.
Beliau menekankan, kes berlaku akibat masalah di luar Kuala Lumpur seperti kejadian di Cheras yang mangsanya mempunyai rekod jenayah dan baru tiba dari Sibu, Sarawak atas urusan peribadi.
Katanya, kemungkinan mereka diekori musuh atau pihak tidak berpuas hati atau berdendam sebelum mencari masa dan waktu sesuai untuk menembak mati.

Menurutnya, kes seorang lelaki ditembak mati dan dua lagi cedera di Brickfields, Jumaat lalu, turut dilaporkan membabitkan perseteruan antara mangsa dan musuhnya di Selangor.
“Kes ini membabitkan masalah di Selangor, namun musuh mereka mencari masa sesuai untuk menembak mati mangsa ketika dia berada di restoran di Jalan Tun Sambanthan.
“Malah mangsa ditembak juga didapati datang ke restoran berkenaan selepas dia dibebaskan dari tahanan reman akibat kes di Selangor,” katanya, menurut Berita Harian.
Rusdi berharap masyarakat akan terus bekerjasama dan berkongsi maklumat aktiviti jenayah di ibu negara.
“Keselamatan anda dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan warga polis Kuala Lumpur,” katanya.