Ibu maut, anak cedera motosikal terlanggar pintu kereta

Ibu maut, anak cedera motosikal terlanggar pintu kereta

Polis berkata wanita itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala anaknya cedera ringan di kaki dan tangan.

kemalangan jalan ipoh
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata mangsa terjatuh ke bawah sebuah lori bergerak di lorong kanan selepas motosikal ditunggang anaknya terlanggar pintu kereta dibuka secara tiba-tiba. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita maut, manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal mereka dipercayai terlanggar pintu kereta berhenti di bahu jalan dekat persimpangan lampu isyarat Batu 5 Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.

Mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata pihaknya menerima laporan kemalangan tiga kenderaan pada 1.45 tengah hari semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 12.20 tengah hari semasa penunggang motosikal lelaki berusia 20 tahun bersama ibunya yang juga pembonceng dalam perjalanan dari arah Jalan Ipoh menghala Bulatan Kepong.

“Semasa tiba di lokasi, pemandu lelaki Toyota Vios berusia 35 tahun yang parkir di kiri jalan tiba-tiba membuka pintu kereta menyebabkan penunggang tidak sempat mengelak dan terlanggar pintu berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang terjatuh ke atas jalan, manakala pembonceng terjatuh ke bahagian bawah sebuah lori sedang bergerak di lorong kanan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa cedera dikejarkan ke HKL, tetapi pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala penunggang cedera ringan di kaki dan tangan.

Menurutnya, lelaki 30 tahun yang memandu lori itu tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.