
Kedua-dua mangsa yang maut dalam kejadian 8.58 malam itu merupakan seorang penjual roti warga Pakistan, Sher Zamin Khan, 44, dan pengawal keselamatan, Muhammad Zulhaidi Iqhwan Abdullah, 26.
Ketua Polis Jempol, Norhisham Mustapar berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila motosikal warga Pakistan itu dirempuh sebuah kereta dari arah Simpang Pertang menuju ke Bahau.
Katanya, ia menyebabkan mangsa hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal seorang lagi mangsa.
“Akibat daripada kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan maut di lokasi kejadian,” katanya, menurut Sinar Harian.
Bagaimanapun katanya, pemandu Toyota Vios berusia 46 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
“Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Yasmin Beevee Mohamed Ali di talian 012-9434222 bagi membantu siasatan,” katanya.