TNB sedia RM43 bilion naik taraf grid nasional, kata PM

TNB sedia RM43 bilion naik taraf grid nasional, kata PM

Usaha itu gabung AI dan sistem penyimpanan tenaga bateri untuk bina daya tahan dan fleksibiliti lebih besar.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata negara perlu melabur untuk tingkat kecekapan dan mengurangkan pelepasan dalam sistem tenaga sedia ada. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited menyediakan peruntukan RM43 bilion untuk naik taraf infrastruktur grid nasional, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usaha menaik taraf itu akan menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dan sistem penyimpanan tenaga bateri untuk membina daya tahan dan fleksibiliti yang lebih besar pada masa hadapan.

“Kita mesti melabur untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan dalam sistem tenaga sedia ada kita, satu tugas yang sukar, memandangkan bahan api fosil masih menyumbang hampir 80% daripada bekalan global.

“Apa yang paling penting, peralihan ini mesti berteraskan kepada kesaksamaan,” katanya menurut Bernama menerusi ucap tama pada persidangan Energy Asia 2025.

Anwar juga mengingatkan usaha penyahkarbonan yang mengabaikan keperluan golongan miskin dan rentan berisiko meningkatkan lagi ketidaksamaan.

Menyentuh mengenai Asean, beliau berkata rantau itu telahpun meletakkan asas bagi laluan pragmatik ini menerusi Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) Asean bertujuan memperkemas dasar dan memudahkan aliran modal dan karbon merentas sempadan.

“Malaysia memainkan peranannya. Awal tahun ini, kami meluluskan Rang Undang-undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 untuk menyediakan asas kawal selia bagi sektor yang sedang pesat membangun ini.

“Petronas meneraju usaha dengan rancangan untuk membangunkan tiga hab CCS di perairan luar pantai kita, bukan sahaja untuk sektor minyak dan gas, tetapi juga industri lain seperti industri yang sukar untuk mengurangkan intensiti karbon mereka,” katanya.

Anwar juga berkata, usaha CCS Malaysia melibatkan lebih 10 rakan antarabangsa dari Jepun, Korea Selatan, dan firma tenaga global seperti Total dan Shell.

“Petronas juga bekerjasama dengan ENEOS Corporation, Mitsubishi, dan JX Nippon untuk meneroka pengangkutan dan penyimpanan karbon dioksida dari kawasan Teluk Tokyo ke Malaysia.

“Ini menjadikan CCS bukan sahaja sebagai instrumen penyahkarbonan penting tetapi juga sebagai aliran pendapatan baharu yang menjanjikan prospek yang baik untuk rantau ini,” katanya.

Persidangan Energy Asia 2025, dengan tema ‘Melaksanakan Peralihan Tenaga Asia’, yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun, merupakan masa yang sesuai untuk Malaysia dan rantau ini untuk melihat kemajuan yang dicapai ke arah objektif peralihan tenaga dan mengukuhkan komitmen negara bagi mencapai matlamat bersih-sifar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.