
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata faktor demografi pengundi tidak memudahkan PN di beberapa kerusi campuran.
Beliau juga percaya keyakinan ketua PN Selangor itu berpandukan data PRN lepas.
“Kalau mereka dapat 7,000 undi dalam kawasan DUN yang tewas sebelum ini maka dapat menubuhkan kerajaan negeri tetapi hakikatnya ialah berbanding Pahang, PN mempunyai peluang sedikit di Selangor,” katanya.
Azmi mengulas dakwaan Azmin bahawa PN mampu menambah 10 lagi kerusi DUN, sekali gus merampas pentadbiran Selangor pada pilihan raya akan datang.
Dakwaan itu dibuat dalam video ucapannya dalam program Bersatu Selangor bulan lalu.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata pandangan dalam kalangan ahli Umno berhubung kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan salah satu faktor kejayaan PN pada pilihan lalu lalu.
Menurutnya, berlaku peralihan sebanyak 20% pengundi Umno di sesetengah kawasan ketika itu, kerana DAP ditonjolkan sebagai suatu yang tidak baik kepada parti itu, sekaligus mendorong kemenangan di kawasan majoriti Melayu.
“Namun selepas dua tahun lebih imej kerajaan perpaduan makin baik dan keyakinan rakyat makin meningkat, penyokong ahli Umno yang menyokong PN sebelum ini akan kembali kepada Umno,” katanya.
“PN mungkin dapat menang kerusi lagi tapi tidak sebanyak daripada PRN lepas,” katanya.
Pada Mac, Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri dilapor menggesa pengundi PAS dari Kelantan, Terengganu dan Kedah yang bermastautin di Selangor supaya mengambil langkah sewajarnya bagi mengundi di Selangor.
Penganalisis bagaimanapun meragui ia akan berhasil, kerana pengundi berkenaan kemungkinan besar bermastautin di kawasan bandar, di mana kedudukan Pakatan Harapan dikatakan kukuh.
PN menduduki 21 daripada 56 kerusi di DUN Selangor, dan memerlukan 29 kerusi untuk peroleh majoriti mudah.
Pada pilihan raya lalu, PN merampas Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong, Semenyih daripada Umno. Manakala Sungai Ramal, Morib, dan Hulu Kelang dirampas daripada Amanah; Taman Medan, Paya Jaras, Sungai Kandis, Gombak Setia, Sabak, Permatang, Bukit Melawati dan Ijok daripada PKR.
Sementara itu, Batang Kali, Jeram, dan Kuang dahulunya kerusi Pejuang, manakala Sementa dahulunya kerusi Parti Bangsa Malaysia.
PN turut menang Selat Klang namun wakil rakyatnya, Abdul Rashid Asari, mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Amirudin Shari.