
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, hasil semakan awal menunjukkan ejen terbabit bukan syarikat yang menerima tauliah sah daripada Lembaga Tabung Haji (TH) atau Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk menguruskan perjalanan haji.
“Bukan daripada syarikat PJH dan kemungkinan besar ia ejen pelancongan. Ada kemungkinan juga mereka masuk Jeddah untuk mengerjakan haji secara haram menggunakan visa pelancongan atau dari negara lain.
“Jika ini yang berlaku, memang sukar untuk kita kesan kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Orang Asli Bukit Seraya, Jasin, lapor Bernama.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, kumpulan jemaah haji itu mungkin dibawa ke tempat lain dulu melalui negara ketiga, dipercayai Turki, sebelum memasuki Arab Saudi.
“Jadi dari Turki, mereka memasuki Jeddah, dan kita tidak boleh halang kalau alasannya untuk bercuti atau sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan pelbagai cara untuk mengekang kes penipuan ini termasuk mengeluarkan tidak kurang 10 kenyataan media setiap kali tiba musim haji bagi mengingatkan para jemaah agar berhati-hati supaya tidak terpedaya.
Antara usaha dijalankan termasuk melalui pasukan khas bersama TH, Jabatan Imigresen dan polis, di samping memperketat lagi kawal selia terhadap semua ejen perjalanan haji seperti mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang tidak berlesen.
Terdahulu dilaporkan, sebanyak 47 jemaah haji dari Malaysia didakwa menjadi mangsa penipuan ejen tempatan, dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.