
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pelancongan Semenanjung Malaysia, Steven Chong, berkata masalah itu bertambah buruk selepas pandemik Covid-19 apabila ramai pemandu mengambil keputusan untuk meninggalkan industri secara kekal.
Beliau berkata industri telah beberapa kali membangkitkan isu kekurangan pemandu, namun masih bergelut untuk mendapatkan tenaga kerja berpengalaman.
Chong turut mendedahkan majoriti tenaga kerja kini terdiri daripada pemandu yang berusia kerana usaha menarik bakat muda tidak berjaya.
“Selepas PKP, ramai pemandu kami mendapat pekerjaan lain,” katanya kepada FMT, merujuk kepada perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.
“Apabila mereka sudah selesa dengan kerja baharu, sangat sukar untuk menarik mereka kembali.
“Dan dalam keadaan terdesak, syarikat mungkin abaikan proses tapisan, seperti semakan saman,” katanya, sambil menambah bahawa kebanyakan syarikat bas masih memastikan pemandu menjalani ujian air kencing sehari sebelum perjalanan.
Minggu lalu, dilaporkan bahawa pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) mempunyai 18 rekod saman trafik.
Bagi mengatasi kekurangan pemandu, Chong mencadangkan kerajaan menyediakan lebih banyak latihan dan insentif, khususnya untuk menarik golongan muda menyertai industri itu.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengambilan pemandu asing bagi membantu menampung kekurangan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia, Ashfar Ali, berkata walaupun Kementerian Pengangkutan menyediakan 1,000 slot latihan kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen Kelas E dan PSV, jumlah itu masih tidak mencukupi.
Beliau menghargai peruntukan disediakan kerajaan, tetapi menegaskan industri memerlukan lebih banyak sokongan.
“Kos mendapatkan lesen ini tinggi, dan walaupun inisiatif latihan percuma membantu, jumlahnya perlu ditingkatkan jika kita benar-benar mahu atasi masalah ini,” katanya.
Ashfar turut menolak dakwaan bahawa kekurangan pemandu disebabkan gaji tidak menarik atau keadaan kerja yang tidak memuaskan, sebaliknya menyalahkan masalah latihan dan pengekalan pekerja.
Katanya, pengusaha sering menaja bakal pemandu mendapatkan lesen tetapi ramai yang menghilangkan diri selepas berjaya mendapatkan lesen dan tidak bekerja dengan syarikat yang menaja mereka.
“Kita pernah lihat kes pemandu dapat lesen, kemudian terus hilang. Tidak ramai pengusaha sanggup ambil risiko ini,” katanya.