Razarudin sahkan kontrak sebagai KPN tamat 22 Jun

Razarudin sahkan kontrak sebagai KPN tamat 22 Jun

Razarudin Husain dilantik ketua polis negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak berkuat kuasa 23 Jun 2023.

Razarudin Husain
Razarudin Husain menggantikan Acryl Sani Abdullah Sani sebagai ketua polis negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kontrak Razarudin Husain sebagai ketua polis negara akan tamat pada 22 Jun ini.

Bernama melaporkan Razarudin mengesahkan perkara itu.

Sebelum ini, media memetik sumber melaporkan majlis serah terima tugas dan paluan berundur bagi jawatan itu akan diadakan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) pada Jumaat depan.

Razarudin dilantik sebagai ketua polis negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak, berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau yang dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau memulakan karier pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai pegawai penyiasat.

Antara jawatan lain pernah disandang ialah penolong pengarah D9 JSJ Bukit Aman, Timbalan Komander Special Task Force On Organised Crime, Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah) Bukit Aman, ketua JSJ Pulau Pinang dan timbalan pesuruhjaya Polis Sabah.

Beliau kemudian dilantik sebagai timbalan ketua polis Perak selama dua tahun sebelum menjadi ketua.

Bermula 2021 hingga 2023, Razarudin dilantik pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai timbalan ketua polis negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.