Microsoft komited pada Malaysia di sebalik pengunduran pusat data global

Microsoft komited pada Malaysia di sebalik pengunduran pusat data global

Jurucakap Microsoft Malaysia kata ia memantau ketidaktentuan berikutan tarif AS.

microsoft
Lebih 400,000 rakyat menerima latihan AI di bawah inisiatif AIForMYFuture oleh Microsoft, setakat Mei. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Microsoft mengesahkan komitmen pada pelaburan RM10.5 bilion dalam prasarana awan dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia, termasuk pembangunan pusat data skala besar di Lembah Klang.

Jurucakap Microsoft Malaysia beritahu FMT bahawa gergasi teknologi itu memantau dengan teliti ketidaktentuan yang berterusan berikutan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenai tebaran tarif pada April, yang menyebabkan pasaran saham dan mata wang tidak menentu sebelum jeda 90 hari diisytiharkan seminggu kemudian.

“Microsoft kekal komited pada pelaburan kami di Malaysia untuk mempercepatkan penggunaan AI dan awan. Sebagai sebuah syarikat, tarif adalah sesuatu yang kami perhatikan, tetapi kami tidak mempunyai apa-apa untuk dikongsi sekarang,” katanya.

Memetik orang yang arif tentang situasi itu, Bloomberg pada bulan April melaporkan Microsoft sama ada menghentikan perbincangan tentang, atau menangguhkan pembangunan, projek pusat data di Indonesia, UK dan Australia, serta Illinois, North Dakota dan Wisconsin di AS.

Microsoft mengakui membuat perubahan pada rancangan pusat data pada masa itu, menjelaskan langkah itu mencerminkan fleksibiliti strategi dan sejajar matlamat memastikan ia mempunyai “prasarana yang mencukupi di tempat yang betul”.

Bulan lalu, Microsoft mengumumkan ketersediaan umum wilayah awan Malaysia Barat di Kuala Lumpur Raya yang terdiri daripada tiga zon ketersediaan, bertujuan menawarkan sambungan kependaman rendah (low latency) dan prasarana yang sangat berdaya tahan, termasuk Azure dan Microsoft 365.

Selain itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si, sebelum ini berkata syarikat itu melabur dalam pembangunan bakat melalui inisiatif ‘AI for Malaysia’s Future’ (AIForMYFuture), bertujuan untuk melengkapkan 800,000 rakyat dengan kemahiran AI menjelang akhir 2025.

Dalam temu bual dengan FMT, Pengarah Hal Ehwal Undang-undang dan Kerajaan Microsoft Malaysia, Adilah Junid, mendedahkan bahawa lebih 400,000 rakyat menerima latihan AI di bawah inisiatif itu, setakat Mei.

Beliau juga menggalakkan penyertaan dalam inisiatif AIForMYFuture percuma melalui laman web ‘AI Skills Navigator Microsoft’, dan program bulanan ‘Microsoft AI Teach’ yang diadakan di seluruh negara di institusi pendidikan tempatan dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional.

“Microsoft sangat bergantung pada rakan kongsi tempatan seperti Biji-Biji, HRD Corp, Perkeso, Pepper Labs, dan Persekutuan Perdagangan dan Industri Wanita Antarabangsa Malaysia.

“Mereka mempunyai rangkaian dalam komuniti dan masyarakat, membolehkan kami meluaskan peluang ini seluas mungkin,” kata Adilah.

Mengulas kebimbangan mengenai kemampanan, terutamanya penggunaan air yang tinggi oleh pusat data untuk penyejukan, beliau berkata Microsoft sentiasa meneroka penyelesaian inovatif untuk beroperasi dengan lebih mampan.

“Kami sebahagian daripada rundingan berkenaan garis panduan Kementerian Digital untuk pusat data mampan.  Kami juga bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan metrik penggunaan air dan tenaga kami sejajar,” kata Adilah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.