
Ketua PKR Tuaran Razeef Rakimin berkata isu itu tidak mendapat sambutan kerana rakyat faham tujuan pembaharuan semula bandar.
“Tindakan PAS menukar nama himpunan adalah kerana isu yang mereka tunggang tidak mendapat sambutan,” menurut kenyataan.
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamidden mengumumkan himpunan membantah URA ditukar kepada ‘Himpunan Turun Anwar’, antaranya bagi menyatakan solidariti kepada Yusoff Rawther.
Katanya, keputusan itu berikutan permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merujuk kepada mahkamah persoalan undang-undang termasuk sama ada perdana menteri mempunyai imuniti daripada saman, berkaitan saman sivil yang difailkan oleh Yusoff.
Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Anwar, pada 4 Jun lalu.
Afnan menyeru orang ramai merentasi parti, badan bukan kerajaan dan bangsa untuk turut serta himpunan tersebut.
“Beliau memaklumkan idea ini timbul selepas banyak isu berlaku di negara ini walaupun beliau sendiri tidak tahu isu apa dan adakah isu yang beliau fikir itu kerana kelemahan perdana menteri,” kata Razeef.
Razeef menyifatkan himpunan tersebut tidak ada hala tuju melainkan menyemarakkan kebencian kepada kerajaan, yang terbuka mendengar pandangan dan kritikan.
“Namun pembangkang yang ada pada hari ini terlalu bodoh untuk menjadi semak imbang dalam Parlimen,” katanya.