
Anwar yang melawat sekolah itu hari ini berkata, penyediaan laporan tersebut adalah bagi membolehkan segala bentuk bantuan dan pemulihan dapat dilakukan dengan pantas serta berkesan, selepas beberapa bahagian penting sekolah termasuk blok pentadbiran, bilik guru, makmal dan kemudahan lain musnah akibat kebakaran itu.
“Melihat sendiri impak kemusnahan itu cukup menyentuh hati kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada prasarana sekolah tetapi juga kepada semangat murid-murid dan warga pendidik yang begitu komited dalam usaha membina masa depan generasi muda.
“InsyaAllah, kita akan pastikan usaha pemulihan dilaksanakan sebaik mungkin demi kesinambungan pendidikan anak-anak kita,” katanya menerusi catatan di media sosial.
Terdahulu, Anwar melawat sekolah itu selepas solat Jumaat bersama isterinya, Dr Wan Azizah Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.
Mereka diberi taklimat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung insiden itu.
Anwar turut meninjau tapak cadangan pembinaan bilik guru sementara dan beramah mesra dengan para pelajar serta warga pendidik sekolah berkenaan.
Pada Selasa lepas, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran di sekolah itu pada 4.15 pagi.
Menurut kenyataan itu, tingkat tiga bangunan berkenaan itu yang antara lainnya menempatkan bilik guru, bilik mesyuarat, bilik fail, makmal dan beberapa bilik lain musnah dalam kebakaran, namun tiada mangsa terlibat.