Letupan di P Pinang berkait hutang, polis buru 2 suspek

Letupan di P Pinang berkait hutang, polis buru 2 suspek

Polis berkata ia sedang meneliti rakaman CCTV di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan.

Helmi Aris
Ketua Polis Seberang Perai Tengah Helmi Aris berkata kedua-dua suspek itu dipercayai menaiki sebuah kereta, tetapi identiti mereka belum dikenal pasti. (Gambar Facebook)
BUKIT MERTAJAM:
Polis sedang memburu dua suspek dipercayai terbabit letupan di Taman Serumpun, di sini, awal pagi semalam yang menyebabkan tiga rumah mengalami kerosakan.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, berkata kedua-dua suspek itu dipercayai menaiki sebuah kereta dan terbabit letupan kira-kira 1 pagi itu.

“Pihak polis sedang mengesan suspek dan kita juga meneliti rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, kita tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan dua suspek yang menaiki sebuah kereta, namun identiti mereka belum dapat dikenal pasti lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati puncanya berkaitan hutang, namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

Polis dilaporkan menerima maklumat orang awam pada 1.05 pagi memaklumkan terdengar satu letupan kuat di kawasan perumahan terbabit.

Siasatan polis mendapati letupan dipercayai berpunca daripada mercun dibaling ke dalam sebuah rumah dan impak letupan itu menyebabkan dua rumah bersebelahan turut mengalami kerosakan pada bahagian siling, halaman rumah serta kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.