‘Bantu dedah nama syarikat, bukan tuding jari’, Loke bidas persatuan bas

‘Bantu dedah nama syarikat, bukan tuding jari’, Loke bidas persatuan bas

Menteri pengangkutan itu meminta persatuan terbabit untuk memberi senarai syarikat yang terbabit dengan kegiatan memajak permit.

bas ekspres
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kementerian memerlukan bukti untuk mengambil tindakan terhadap syarikat bas yang didakwa terbabit memajak permit. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook membidas kenyataan sebuah persatuan pengusaha bas yang menuding jari terhadap kementerian itu susulan pendedahan mengenai isu memajak permit bas ekspres dan persiaran.

Sebaliknya beliau berkata, pihak terbabit sepatutnya melaporkannya kepada pihak berkuasa atau mendedahkan senarai syarikat terbabit kepada umum, sekiranya menyedari ia sudah lama berlaku.

“Kita perlukan bukti. Persatuan sepatutnya membantu kita, memberi senarai syarikat terbabit atau nyata secara terbuka,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian penggunaan speed limitation device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd.

Loke berkata, tidak adil menuding jari kepada kementeriannya memandangkan insiden pajakan permit tersebut melibatkan perjanjian peribadi antara pengendali syarikat dan pihak ketiga terbabit.

“Kalau tak berlaku insiden, tiada sesiapa nak jadi orang yang melaporkan. Saya tiada masalah untuk menjadi ‘orang jahat’, (persatuan) bagi senarai kemudian gantung terus,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM) yang mendakwa isu pajakan permit bas hanya timbul selepas nahas jalan raya mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), walaupun berlaku sejak sekian lama.

Sebelum ini,  media melaporkan pendedahan pertubuhan itu berhubung kegiatan ‘pajakan’ permit yang membabitkan ribuan bas ekspres dan di seluruh negara, dengan bayaran RM500 sebulan.

Sementara itu, Loke berkata pihaknya akan meneliti dan kemungkinan merombak semula pendekatan saman trafik bawah Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) memandangkan ia tidak begitu berkesan pada masa ini.

“Perlu rombak besar-besaran kerana markah (merit) hanya ditolak selepas saman dibayar. Masalahnya ramai tak bayar saman,” katanya yang turut menyifatkan sistem itu gagal.

Dalam perkembangan lain, Loke turut mengumumkan peranti had kelajuan (SLD) bagi kenderaan perdagangan akan dikuatkuasa secara berperingkat mulai 1 Oktober ini.

Ia tertakluk kepada semua bas persiaran, bas ekspres dan kenderaan barangan berat maksimum melebihi 3,500 kilogram yang didaftar bermula 1 Januari 2025, menurutnya.

Manakala bagi yang didaftarkan sebelum 2015, kewajiban pemasangan SLD itu bakal dikuatkuasa 1 Januari tahun depan.

“SLD bagi kenderaan barangan dan kenderaan penumpang (melebihi lapan orang) turut diwajib memasang secara retrofit dan dikuatkuasa 1 Julai 2026.

“Ini langkah penting bagi memastikan kenderaan perdagangan mematuhi ciri keselamatan kritikal dan sekaligus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang melibatkan nyawa dan harta benda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.