Seleweng dana NGO RM8 juta, 4 direman

Seleweng dana NGO RM8 juta, 4 direman

SPRM turut sita sembilan lot tanah serta barang kemas, beku 14 akaun individu dan enam akaun syarikat berjumlah RM5 juta.

Empat suspek berkenaan disyaki bersubahat dengan pengerusi NGO bagi kepentingan peribadi antara 2015 hingga 2025.
PETALING JAYA:
Tiga ahli jawatankuasa NGO antara empat direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat menyeleweng aset dan wang tunai RM8 juta.

Sumber dipetik sebagai berkata, SPRM menyita wang tunai RM900,000 dan membekukan 14 akaun milik lapan akaun individu serta enam akaun syarikat, dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM5 juta.

Selain itu, SPRM turut menyita barangan kemas, sembilan lot tanah di Melaka, Pulau Pinang, dan Selangor, serta empat unit rumah di Melaka.

“Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2015 hingga 2025.

“Mereka dipercayai telah bersubahat bersama pengerusi NGO berkenaan yang menyalahgunakan kuasa serta melakukan penyelewengan dana bagi kepentingan peribadi,” katanya menurut Sinar Harian.

Empat suspek terdiri dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an ditahan antara 4 petang hingga 7 malam, semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

Menurut laporan itu, semua suspek direman tujuh hari sehingga Rabu depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.