Bahan kimia peram buah meletup, kedai, 6 kereta rosak

Bahan kimia peram buah meletup, kedai, 6 kereta rosak

Letupan kalsium karbida berlaku di bahagian belakang premis berkeluasan 7,000 kaki persegi di Bandar Baru Klang.

Sebuah kedai terletak di Jalan Gudang Nenas, Bandar Baru Klang, rosak terus selepas kalsium karbida yang digunakan untuk mempercepat pemeraman buah meletup. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah kedai buah-buahan di Bandar Baru Klang rosak teruk hari ini selepas sejenis bahan kimia yang digunakan untuk mempercepat proses pemeraman buah meletup.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.21 petang.

Susulan itu, sepasukan lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikejarkan ke lokasi kejadian di Jalan Gudang Nenas.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati berlaku letupan di bahagian belakang premis berkeluasan 7,000 kaki persegi itu.

“Letupan turut menyebabkan struktur dinding pejabat di dalam premis berkeluasan 900 kaki persegi runtuh,” katanya, lapor Bernama.

Ahmad Mukhlis berkata, impak letupan kalsium karbida itu juga mengakibatkan enam buah kenderaan yang diletakkan berhampiran mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.