Suri rumah terpedaya rugi lebih RM500,000

Suri rumah terpedaya rugi lebih RM500,000

Wanita rugi RM521,450 selepas terperdaya penipuan pelaburan secara bersemuka.

Hamzah Ahmad
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad kata polis sedang kesan individu terlibat selepas suri rumah terperdaya penipuan pelaburan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Seorang suri rumah kerugian RM521,450 selepas terperdaya penipuan pelaburan secara bersemuka dalam kejadian di Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu daripada wanita berusia 57 tahun terbabit semalam.

“Mangsa menyatakan diperkenalkan oleh jirannya berkaitan satu pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat pada 2022 sebelum diperkenalkan kepada seorang wanita yang berperanan sebagai pegawai pemasaran pelaburan itu.

“Wanita itu telah memberikan penerangan kepada mangsa kononnya pelaburan tersebut menawarkan simpanan dan pelaburan satu kali ganda daripada jumlah modal dalam tempoh sebulan,” menurut kenyataan.

Beliau berkata mangsa yang berminat menyertai pelaburan itu melakukan 51 transaksi ke lima akaun berbeza sejak 4 Mac 2022 hingga 22 Jan 2024 melibatkan RM521,450 sebelum menyedari ditipu apabila suspek kerap memberikan pelbagai alasan apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan.

Hamzah berkata alasan yang diberikan termasuk pelaburan mangsa belum mencapai tempoh matang dan tidak perlu risau kerana wang modal tersebut selamat disimpan di Bank Negara, selain meminta membuat pelbagai bayaran tambahan seperti bayaran kepada Bank Negara dan yuran guaman bagi urusan mendapatkan modal serta keuntungan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kes penipuan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.