
Berita Harian melaporkan Danial Azrey Affendy Mohd Noradi, 21, didakwa di depan Majistret Arun Noval Dass mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 326A KK bagi pertuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 427 KK.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 22 tahun dengan menendang perut dan menghantuk kepala mangsa ke dinding rumah di Taman Desa Sri Banang pada 1.15 tengah hari Sabtu lalu.
Bapa seorang anak itu juga didakwa menendang motosikal isterinya sehingga mengalami kerugian RM58 di Jalan Haji Ibrahim, Kampung Rahmat/Kampung Nawi Jaya di Jalan Tanjung Laboh pada 3 petang hari sama.
Seksyen 323 KK memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 326A pula membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum dikenakan atas sabitan Seksyen 323.
Sabit kesalahan mengikut Seksyen 427 pula boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret membenarkan ikat jamin RM4,000 bersama syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap tiga minggu sekali.
Mahkamah menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Zulyatie Awang.