Berang status media sosial, juruteknik mengaku tak salah pukul isteri hamil

Berang status media sosial, juruteknik mengaku tak salah pukul isteri hamil

Tertuduh yang menerima rawatan psikiatri tujuh tahun lalu, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya berusia 34 tahun pada 1 pagi 29 Sept lalu.

Mahkamah Majistret Batu Pahat membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan melarangnya mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan mencederakan isterinya yang hamil enam minggu kerana berang dengan hantaran media sosial wanita itu.

Harian Metro melaporkan Mohd Hasri Turaman, 40, yang pernah menerima rawatan psikiatri tujuh tahun lalu, membuat pengakuan itu di depan Majistret Suhail Shafi’uddin.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 34 tahun di Taman Soga, Batu Pahat pada 1 pagi 29 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan mengikut Seksyen 323.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 13 Nov ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 beserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Berdasarkan laporan, sebelum kejadian, mangsa meminta RM20 daripada tertuduh kerana mahu pulang ke rumah ibunya di Skudai, namun permintaan mangsa tidak diendahkan dan 20 panggilan telefonnya juga tidak dijawab.

Susulan itu, mangsa didakwa memuat naik status di media sosial yang kemudian dibaca tertuduh, dengan dia didakwa membelasah mangsa apabila tiba di rumah. Mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.