Tembak mati pengawal keselamatan, 2 terlepas hukuman mati

Tembak mati pengawal keselamatan, 2 terlepas hukuman mati

Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Mohd Hafizuddin Zainal Abidin dan Cheah Cheong Tatt dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan.

Gavel
Pada 29 Dis 2016 Mahkamah Tinggi Taiping menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohd Hafizuddin Zainal Abidin dan Cheah Cheong Tatt kerana merompak dan menembak mati seorang pengawal keselamatan 12 tahun lalu. (Gambar Pexel)
PUTRAJAYA:
Dua lelaki terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan kerana merompak dan menembak mati seorang pengawal keselamatan, 12 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 37, dan Cheah Cheong Tatt, 35, untuk menggantikan hukuman mati dengan pemenjaraan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama Hanipah Farikullah dan Vazeer Alam Mydin Meera turut memerintahkan Mohd Hafizuddin menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 25 Sept 2012 manakala Cheah pada 21 Sept tahun sama.

Hafizuddin yang semasa kejadian bertugas sebagai pengawal keselamatan syarikat Safeguards G4S Sdn Bhd didapati bersalah merompak wang tunai berjumlah RM1.2 juta milik majikannya dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian rakan setugas Hasnul Hafis Saad, 28, yang juga pemandu van syarikat keselamatan itu.

Cheah, yang ketika itu penyelia syarikat swasta, didapati bersalah bertindak sebagai rakan sejenayah kepada Mohd Hafizuddin ketika melakukan rompakan dan Cheah mengetahui lelaki tersebut memiliki senjata api.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah pasar raya, Jalan Tekah, Aulong, Taiping, Perak, antara 2 petang hingga 3.25 petang, 18 Sept 2012.

Pertuduhan terhadap Mohd Hafizuddin mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 manakala Cheah didakwa mengikut Seksyen 3A akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Pada 29 Dis 2016, Mahkamah Tinggi Taiping, Perak menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua lelaki itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh terhadap kesalahan yang dilakukan.

Hukuman tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, masing-masing pada 2018 dan 2021.

Terdahulu, peguam Gurbachan Singh dan Ramkarpal Singh, masing-masing mewakili Hafizuddin dan Cheah memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum 30 tahun atas alasan anak guam mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain menyesal atas kesalahan dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memohon hukuman penjara antara 36 hingga 38 tahun kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.