Kadar pengangguran terendah dalam sedekad

Kadar pengangguran terendah dalam sedekad

Kedudukan ekonomi negara meyakinkan menyumbang tenaga buruh stabil pada April.

job fair
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin, berkata tenaga buruh negara dijangka terus optimis dan berkembang menjelang bulan-bulan berikutnya tahun ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kadar pengangguran menurun daripada 3.1% pada Mac kepada 3% pada April, iaitu terendah dalam tempoh 10 tahun, menurut statistik tenaga buruh Malaysia bagi April 2025 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin, berkata bilangan penganggur berkurangan sebanyak 0.7% kepada 525,900 pada April 2025, berbanding 529,600 pada Mac.

“Kedudukan ekonomi negara meyakinkan menyumbang tenaga buruh stabil pada bulan itu, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, manakala kadar pengangguran terus menurun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bilangan tenaga buruh menunjukkan trend menaik pada April, dengan peningkatan sebanyak 0.2% kepada 17.34 juta, berbanding 17.31 juta pada Mac.

“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.8%, berbanding 70.7% pada Mac, menunjukkan penyertaan lebih ramai buruh dalam pasaran,” katanya.

Dari sudut sektor ekonomi, Uzir berkata sektor perkhidmatan berada dalam trend peningkatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja turut meningkat dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan dan pengkuarian.

Uzir berkata, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.3% pada April 2025, melibatkan 298,300 penganggur.

Beliau berkata, bilangan penduduk di luar tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2% kepada 7.17 juta orang pada April berbanding 7.16 juta pada bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kerja rumah dan tanggungjawab keluarga yang merangkumi 43.7%, diikuti bersekolah, dan latihan sebanyak 41.1%.

Beliau berkata, tenaga buruh negara dijangka terus optimis dan berkembang menjelang bulan-bulan berikutnya pada tahun ini, disokong oleh kekukuhan dasar ekonomi dan kestabilan permintaan domestik.

“Walaupun terdapat ketegangan geopolitik global, tenaga buruh Malaysia dilihat akan terus berdaya tahan berikutan pengangguran yang stabil, perkembangan sektor perkhidmatan dan teknologi, serta peningkatan pelaburan dalam digitalisasi, dan automasi,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.