
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah, berkata siasatan awal mendapati pemilik akaun Facebook yang membuat hantaran berkenaan seorang pendidik di sebuah sekolah menengah di Perak.
“Selaku pendidik saya amat kesal dengan tindakan individu (guru) terbabit yang telah membuat hantaran tidak sepatutnya berkaitan tragedi yang mengorbankan pelajar UPSI.
“Selepas tular, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah menghubungi pengetua sekolah dan kaunselor PPD turut menasihati guru terbabit untuk menurunkan hantaran itu. Semakan sekitar 8.10 malam semalam mendapati hantaran itu telah dipadamkan,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, hantaran dibuat oleh seorang pemilik akaun Facebook menimbulkan reaksi kurang senang apabila mendakwa 15 pelajar UPSI yang maut dalam nahas itu meninggal dunia dalam keadaan hina.
Hantaran itu turut mendakwa semua pelajar terkorban itu bukan orang beriman kerana meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Namun, hantaran berkenaan telah dipadamkan dan guru terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka selain mendakwa dirinya menghidap penyakit skizofrenia.
Dalam kejadian awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut selepas bas dinaiki terbalik dalam nahas di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Bas membawa 42 pelajar universiti itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu dikatakan hilang kawalan dan melanggar Perodua Alza sebelum terbalik.